SEMPORNA: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas 17 buah bot pam dalam operasi di daerah ini dan Kunak, semalam.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjod berkata, kejayaan itu adalah hasil koordinasi Operasi GASAK Laut Pambot (OGL Pambot) dan Operasi Bersepadu (OB) yang dijalan di kedua-dua daerah berkenaan.
“Operasi berkenaan melibatkan kesepaduan seramai 210 orang pegawai dan anggota pelbagai agensi penguatkuasaan serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Ia bertujuan bagi membanteras penyalahgunaan bot pam, kemasukan PATI, penyeludupan, rompakan, bom ikan dan dadah di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi di Semporna membabitkan pemeriksaan seramai 17 individu dan 18 buah bot pam di kawasan perairan yang menjadi laluan untuk ke pekan.
“Hasilnya, seramai tiga PATI ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Semporna atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.
“Selain itu, seorang pemilik bot pam dikompaun dan 17 bot pam dirampas untuk tindakan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), Semporna,” katanya.
Sementara itu, seramai 115 individu diperiksa di sekitar lokasi tumpuan persinggahan penjenayah rentas sempadan dan PATI di kawasan perkampungan atas air di Kunak.
“Dua individu telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak mengikut Seksyen 12 (2) (a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Semua mereka ditahan kerana didapati memiliki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.20 gram,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius berhubung kesalahan OGL Pambot dan OB yang dilihat mengancam keselamatan masyarakat di ESSZONE.
“ESSCOM akan mengadakan pemeriksaan secara besar-besaran bagi melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan di negeri ini.
“Kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi akan mewujudkan elemen pencegahan dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan di perairan Kunak dan Semporna,” katanya.
Victor menasihatkan semua pemilik bot pam di perairan ESSZONE supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
“Saya berharap melalui operasi-operasi seumpama ini, kawalan di kawasan maritim dan daratan dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X