KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat menahan sebuah bot yang membawa barang kawalan minyak masak dan tepung tanpa kebenaran yang sah, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diterima bot ronda Zon Maritim Kudat yang ketika itu sedang menjalankan rondaan Op Tiris segera diatur gerak ke lokasi berkenaan pada 5 pagi.
Katanya, pada jarak 0.2 batu nautika selatan Tanjung Pegasan, Pitas, sebuah bot pam berjaya dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika merapati bot berkenaan, suspek melarikan diri dengan mengemudi bot pam menuju ke kawasan persisiran yang cetek.
“Pengendali bot terbabit dipercayai bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan media.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati, sebuah pam bot tanpa nombor pendaftaran membawa muatan barang kawalan.
“Antaranya 400 kilogram minyak masak peket dan 50 peket tepung gandum. Bot serta barang rampasan dianggarkan berjumlah RM16,000 dibawa ke jeti dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki membawa barang kawalan tanpa kebenaran yang sah,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di daerah ini supaya terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan mahupun sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut.
“Aduan boleh disalurkan kepada APMM melalui Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X