Search

3 warga asing cuba seludup petrol, tong gas dan minyak masak ditahan

October 29, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan tiga lelaki warga asing menyeludup keluar petrol, tong gas dan minyak masak di kawasan laut Tanjung Meniangit, Pulau Banggi, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 20 hingga 40 tahun yang menggunakan bot pam ditahan pasukan PPM Kudat menerusi Op Taring Gelora Khas Kontraban, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan di kawasan laut itu, jam 2 pagi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan, pasukan PPM menghampiri dan menahan bot berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pengandali bot pam dan dua kru yang berada di dalam bot pam tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Pemeriksaan turut menemui kotak berisi 816 minyak masak, tiga tong gas dan lima tong berisi petrol.

“Semua barangan kawalan itu disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Barang kawalan yang ditemui di atas bot pam suspek. – Foto/PPM

Ahmad berkata, tangkapan dan rampasan termasuk bot dibawa ke Pangkalan PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk enjin bot berjumlah RM33,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X