Search

Eksesais Maritim Perkasa Timur tingkat keupayaan APMM kawal perairan Sabah, Sarawak

October 30, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan terus mempertingkatkan keupayaan di laut dalam menjaga keselamatan perairan negara khususnya di Sabah dan Sarawak, menerusi pelaksanaan Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 di Laut China Selatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin berkata, eksesais ini bermula pada 28 Oktober sehingga 4 November 2023.

Datuk Hamid Mohd Amin (tengah) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 Sabah dan Sarawak di Sabah Ports, Kota Kinabalu.

Katanya, ia membabitkan seramai 652 pegawai dan anggota APMM dengan kekuatan sebanyak 14 buah kapal dan kru kapal dalam eksesais ini akan diberi penekanan dalam latihan Komunikasi, navigasi, mencari dan menyelamat, deck landing training, Photex, penggeledahan, mencegah kebanjiran dan melawan api untuk sepanjang lima hari pelayaran.

“Eksesais ini akan dapat mempertingkatkan keupayaan khusus pelaksanaan evolusi di laut untuk anggota kapal, pesawat dan pasukan mencari dan menyelamat agensi ini.

“Latihan bersekala besar ini juga adalah untuk menguji kekuatan dan kemampuan APMM sekiranya berhadapan situasi sebenar ancaman jenayah di laut khususnya jenayah rentas sempadan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Eksesais Maritim Perkasa Timur 2/2023 Sabah dan Sarawak di Sabah Ports, di sini hari ini.

Majlis pelancaran dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Keselamatan Dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M) Datuk Mohd Rosli Abdullah.

Mengulas lanjut, beliau berkata, eksesais ini dilaksanakan dengan misi menyediakan pegawai dan anggota APMM supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim.

“Kali ini kita fokus pada Laut China Selatan di pantai barat Sabah dan Sarawak. Kita akan pergi menunjukkan kehadiran dan mengambil tindakan jika sekiranya ada pelanggaran jenayah di laut, kita ambil tindakan tangkap.

“Dalam aspek itu juga, kita menunjukkan kehadiran cegah rintang yang mana adalah eleman penting yang menjaga perairan negara. Kena ingat perairan di Sabah dan Sarawak mempunyai banyak industri seperti industri petroleum, gas asli, perkapalan, perikanan dan pelancong.

“Jadi, ini sangat penting kita terus meningkatkan keupayan dari aspek ilmu kelautan dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin sekali gus meningkatkan ekonomi negara,” katanya. -Info X