SEMPORNA: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas insiden pelanggaran bot pelancong di perairan Labuan Haji, di sini, semalam ditemui lemas, pagi tadi.
Mangsa yang juga juragan bot berusia 35 tahun itu dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki terbabit dalam insiden pelanggaran berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 9.30 malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan semalam kira-kira jam 7.39 pagi.
“Seramai tujuh anggota dan pegawai BBP Air Semporna digerakkan bersama sebuah bot untuk menjalankan operasi SAR di sekitar perairan Semporna.
“Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa ditemukan terapung di perairan berkenaan oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada pasukan SAR pada jam 8.11 pagi.
“Pasukan SAR kemudian menyerahkan mayat mangsa terbabit kepada anggota PPM dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.19 pagi,” katanya. – Info X