Search

Duta Sahsiah peringkat Kota Kinabalu dilancarkan

October 31, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Majlis Pelancaran Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah peringkat Kota Kinabalu 2023 berlangsung dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah Senior Asistant Komisioner Mohd Azhar Hamin yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dalam pelancaran itu berkata objektif program ini adalah untuk menentukan hala tuju sahsiah di peringkat sekolah.

“Usaha itu dilaksanakan dengan melantik seorang murid di setiap sekolah sebagai Duta Sahsiah dalam menyalurkan garis panduan salah laku seksual dan buli di Institusi Pendidikan Malaysia yang dilancarkan pada 22 September lalu.

“Duta Sahsiah yang dilantik oleh pihak sekolah ini adalah seorang pelajar yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan memperoleh pencapaian yang terbaik dari segi akademik, sahsiah dan sosial serta diyakini dapat menjadi contoh kepada pelajar lain,” katanya.

Program disempurnakan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Muddin Beting.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan Kalsom Idris. – Info X