KOTA KINABALU: Penyeludup bertindak membuang beberapa bungkusan plastik hitam berisi minuman keras ke laut selepas kegiatan haram mereka dikesan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Kegiatan utu dikesan anggota PPM Labuan ketika sedang membuat rondaan dan pemantauan di kawasan laut Pulau Burung dan laut Kiansam, Labuan kira-kira jam 7 malam.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika itu terkesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan dari laut Kiansam menuju ke Brunei Bay.
“Pasukan PPM kemudian bergerak menuju ke arah bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan namun bot berkenaan bertindak memecut laju melarikan diri.
“Bot ronda PPM kemudian mengejar dan didapati penyeludup membuang beberapa bungkusan plastik warna hitam ke laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, bot rondaan tidak melanjutkan mengejar kerana jarak penglihatan terhad dan jarak bot semakin jauh.
“Bot rondan berpatah balik dan buat pemeriksaan lanjut di kawasan laut mendapati sebanyak 32 karton minuman keras ditemui terapung di laut.
“Semua bungkusan berisi minuman keras itu kemudian dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, anggaran nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM5,500.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X