TENOM: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara tujuh hari dan denda RM10,000 atau lima bulan lagi penjara selepas dia mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Tenom – Keningau, di sini, Julai lalu.
Tertuduh yang berusia 26 tahun, membuat pengakuan bersalah itu di Mahkamah Litar Tenom, di sini, hari ini, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol di Kilometer 14 Jalan Tenom – Keningau, di sini, pada 21 Julai, jam 7.30 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Inspektor Abdullah Hussain Che Mat manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X