TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan dua lelaki termasuk juragan membawa 312 botol minuman keras tanpa sebarang permit kastam berhampiran Jeti Wallace Bay, Pulau Sebatik, di sini, Sabtu lalu.
Kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan APMM Zon Maritim Tawau, kira-kira jam 3.55 petang menerusi Op Sejahtera/ Op Cegah PTI Selatan dan Op Tiris.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di lokasi kejadian.
Katanya, anggota kapal peronda APMM bertindak menahan bot berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan dokumentasi dan barang yang dibawa.

“Sebaik pemeriksaan dilakukan, pasukan Maritim Malaysia mendapati terdapat seorang juragan bersama pembantunya masing-masing warga tempatan berusia 35 dan 32 tahun berada di dalam bot berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut berjaya menemui sebanyak 26 kotak minuman keras pelbagai jenis dengan jumlah 312 botol disembunyikan di dalam guni dan disorokkan di bawah barangan runcit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan dokumentasi juga mendapati semua minuman keras itu tidak disenaraikan di dalam senarai barangan yang dibawa.
“Semua barang rampasan termasuk bot kargo yang dianggarkan bernilai lebih RM50,000 itu dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
“Juragan bersama pembantu terbabit pula diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya modus operadi yang digunakan suspek adalah menyembunyikan barangan larangan import di dalam muatan yang dibenarkan bagi mengelak dikesan pasukan keselamatan.

“Selain itu, proses penghantaran barang larangan itu juga hanya dilakukan pada kuantiti yang sederhana supaya tidak dikesan,” katanya.
Shahrizan berkata, APMM memandang serius aktiviti jenayah rentas sempadan dan akan mempertingkatkan keberadaan aset di lokasi titik panas bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang maritim.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut atau Carilamat boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999,” katanya. – Info X