KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda menyifatkan, tindakan seorang lelaki membelasah penghantar barangan berasal dari Sabah di Kuala Lumpur, baru-baru ini, atas alasan perbezaan loghat sebagai satu pencabulan terhadap integrasi nasional di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Katanya, alasan lelaki terbabit tidak boleh diterima kerana semua rakyat Malaysia seharusnya tahu perbezaan loghat di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung memandangkan usia negara ini sudah menjangkau 60 tahun.
Katanya, beliau kecewa terhadap insiden itu dan mahu pihak polis meneruskan siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap perlakuan lelaki terbabit termasuk menghantarnya ke negeri ini untuk mempelajari loghat Sabah sebagai pengajaran jika didapati bersalah.
“Bagi saya, ada dua perkara yang sebenarnya dalam klip video itu (memaparkan insiden itu), pertama ialah tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pegawai keselamatan terhadap penghantar makanan terbabit.
“Kedua ialah sikap diskriminasi pegawai itu terhadap orang Sabah. Ini sangat memalukan dan tidak boleh diterima. Bayangkan kita sudah merdeka lebih 60 tahun dan bersama dalam Malaysia selama 60 tahun tetapi masih ada ‘mangkuk hayun’ macam ini yang tidak tahu bahasa itu daripada Sabah, jadi ini satu perkara yang perlu diambil serius.
“Saya sebagai seorang Ahli Parlimen dari Sabah, sangat kecewa dengan tindakan pegawai tersebut dan juga diskriminasi yang berlaku dalam kejadian ini. Jadi, sebagai wakil rakyat dari Sabah, saya mahu pihak polis meneruskan siasatan terhadap insiden ini supaya ia tidak berulang lagi,” katanya dalam video TikTok beliau mengenai insiden itu.
Katanya, beliau sendiri menerima kiriman klip video itu yang memaparkan seorang pengawal keselamatan membelasah seorang penghantar barangan dan bertanyakan kewarganegaraannya berikutan bahasa Melayunya yang berlainan kerana menggunakan loghat Sabah.
Verdon berkata, beliau mengambil serius terhadap perkara itu kerana menganggpanya satu pencabulan terhadap integrasi nasional. Katanya, semua rakyat Malaysia sepatutnya memahami kedudukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai satu negara yang mengenali antara satu sama lain.
“Oleh itu, polis harus menangkap suspek sebagai pengajaran bahawa mereka perlu mengetahui dengan mendalam dan tidak mengambil keputusan dengan terburu-buru sebegini.
“Kalau suspek didapati bersalah hantar dia ke Sabah untuk belajar bagaimana bahasa orang Sabah.
Sementara itu, Verdon berkata, beliau juga akan berbincang dengan rakan Ahli Parlimen dari Sabah yang lain untuk membawa isu berkenaan ke Dewan Rakyat jika ada keperluan. – Info X