Search

Sabah FC intai kedudukan ketiga Liga Super

November 10, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, skuad bimbingannya itu masih mampu mengakhiri saingan Liga Super musim ini di tangga ketiga, dengan syarat mereka memenangi kesemua empat baki perlawanan yang tinggal.

Katanya, atas sebab itu, beliau tetap memberi tumpuan terhadap perlawanan Liga Super walaupun pada masa yang sama perlu memberi perhatian terhadap saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Katanya, Liga Super dan Piala AFC sama penting bagi Sabah FC dalam usaha untuk melakar pencapaian yang boleh dibanggakan pasukan berkenaan pada musim ini.

“Kedua-duanya penting bagi saya (Liga Super dan Piala AFC) di mana kita masih lagi mempunyai peluang. Kalau kita berjaya layak ke peringkat seterusnya dalam Piala AFC termasuk Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT), ini akan menambah ‘ranking’ kelab pasukan kita dan kemungkinan kita mendapat dua slot untuk AFC ataupun AFC Elit dan AFC Champions League.

“Jadi kita tidak boleh mengambil mudah dengan fokus hanya satu kejohanan, di mana dalam Liga Super juga apa-apa boleh berlaku ketika ini.

“Jika kita mampu mendapatkan mata penuh pada keseluruhan semua empat permainan akan datang, saya percaya kita mampu mengakhiri Liga Super dalam tangga ketiga,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Sabah FC menentang Hai Phong FC dalam aksi Kumpulan H, Piala AFC 2023 di Stadium Likas, malam tadi.

Ketika ini, Sabah berada di tangga kelima carta Liga Super 2023 selepas mengutip 42 mata, berada di belakang Pahang di tempat keempat dengan 44 mata terkumpul setakat ini.

Bagi saingan Liga Super seterusnya, Sabah dijadual bertemu Kelantan FC di Kota Bharu pada 20 November ini, disusuli pertemuan dengan Terengganu FC di Kuala Terengganu pada 24 November, sebelum bertemu Perak FC di Ipoh pada 3 Disember dan akhir sekali melayan kunjungan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Likas pada 17 Disember depan.

Kim Swee mengakui, jadual perlawanan yang agak padat itu memberi cabaran kepada anak buahnya untuk mengekalkan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi sebahagian pemainnya turut terbabit dengan skuad kebangsaan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 yang bermula pada 16 November ini.

“Kalau lihat jadual, kita terpaksa bermain dengan pasukan Kelantan pada 20 November, di mana kita tahu pemain kita harus melalui banyak perlawanan dan sy difahamkan juga pasukan kebangsaan hanya akan kembali ke tanah air selepas bermain dengan pasukan Taiwan pada 22 November dan kita harus bermain  dengan Terengganu pula pada 24 November.

“Perlawanan yang tanpa henti selepas ini sudah tentu dapat membantu pemain yang tidak disenaraikan pasukan kebangsaan tetapi saya harus memikirkan juga kerana kita nampak Darren Lok penat, Dominic Tan dan Stuart Wilkin yang bermain tanpa henti juga penat,” katanya.

Kim Swee berkata, semua situasi itu perlu diambil kira, namun beliau percaya pemain lain Sabah FC mampu menjalankan tugas jika diberi peluang untuk bermain. – Info X