Search

Dua pegawai penguat kuasa disyaki terima rasuah RM8,000 ditahan SPRM

November 10, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pegawai penguat kuasa kerana disyaki meminta rasuah daripada seorang individu kira-kira 8,000.

Ia sebagai balasan meringankan hukuman di atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol.

Sumber memberitahu, kedua-dua suspek lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an dipercayai ditahan semalam kira-kira jam 7 malam di pejabat SPRM Sabah ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Kedua-dua suspek yang bertugas di sebuah daerah di Sabah dipercayai meminta wang rasuah berjumlah kira-kira RM8,000 pada 4 Oktober lalu yang mana RM2,000 telah diberikan pada 17 Oktober 2023 kepada salah seorang suspek,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

“Kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan kedua-dua mereka direkodkan,” katanya. – Info X