KOTA KINABALU: Beraksi di gelanggang sendiri ternyata memberi kelebihan kepada Sabah FC apabila mereka membelasah Hai Phong FC dari Vietnam 4-1 dalam aksi kumpulan H, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu ternyata mempergunakan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk mengutip mata penuh selepas tewas 2-3 ketika perlawanan pertama di Vietnam pada 25 Oktober lalu.
Kim Swee sebelum ini menyuarakan harapannya untuk mendapatkan keputusan yang positif menerusi kelebihan bermain di Likas untuk memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Piala AFC kali ini.
Aksi malam ini menyaksikan pasukan pelawat hampir berjaya menjaringkan gol pada awal babak pertama bermula seawal minit kedua menerusi cubaan pemain tengah Hai Phong, Nguyen Huu Son yang hanya satu lawan satu dengan Khairul Fahmi Che Mat, namun tersasar di tepi gawang.
Pasukan pelawat turut mendapat peluang melakukan cubaan berbahaya pada minit ke-11, sekali gus menyaksikan Hai Phong lebih menguasai perlawanan pada awal babak pertama.
Bagaimanapun, situasi itu berubah apabila penyerang Sabah, Daniel Ting berjaya mencipta gol pertama skuad Sang Badak pada minit ke-20 bagi memberi semangat kepada pasukan untuk bangkit menguasai permainan.
Ternyata, semangat Sabah FC meningkat selepas itu menerusi serangan demi serangan ke arah gawang lawan sehingga sekali lagi berjaya melakar gol pada minit ke-33 menerusi Darren Lok hasil tandukan kecil bola sepakan percuma yang dilakukan Saddil Ramdani.
Sebelum itu, Saddil dijatuhkan pemain Hai Phong, Trieu Viet Hung yang kemudian dilayangkan kad kuning ketika Saddil cuba melancarkan serangan bersendirian ke arah gawang lawan.
Kedudukan 2-0 yang memberi kelebihan kepada Sabah itu kekal hingga wisel penamat babak pertama dibunyikan termasuk masa tambah tiga minit yang diberikan pengadil.
Beralih ke babak kedua, Sabah mula ditekan pemain Hai Phong hingga memaksa anak buah Kim Swee lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.
Bagaimanapun, Sabah bernasib baik berjaya menambah satu lagi gol menerusi serangan balas yang berjaya dimanfaatkan melalui tandukan Gabriel Peres pada minit ke-69 sekali gus meletakkan Sabah di hadapan dengan 3-0.
Namun, pasukan pelawat yang belum mahu mengaku kalah masih berusaha melakukan serangan sehingga berjaya mendapat gol tunggal menerusi tandukan penyerang Hai Phong, Yuri Souza Almeida pada minit ke-84 menjadikan kedudukan berubah kepafa 3-1.
Gol berkenaan sedikit memberi semangat dan harapan kepada pemain Hai Phong untuk menambahkan lagi gol termasuk menerusi tujuh minit masa kecederaan yang diberikan pengadil.
Bagaimanapun, harapan Hai Phong itu dinafikan pemain Sabah FC apabila berjaya menambah gol keempat pada minit ke-94 menerusi Muhamad Jafri Chew yang baru dibawa masuk untuk membantu pasukan.
Dengan kedudukan 4-1 itu, Sabah FC berjaya memintas Hai Phong untuk berada di tangga teratas carta Kumpulan H, Piala AFC 2023. – Info X