Search

Kemalangan langgar pagar perpustakaan, rupanya bawa ganja

November 9, 2023

Junaidi Ladjana

KENINGAU: Seorang lelaki bukan sahaja sakit akibat kemalangan tetapi diberkas polis selepas didapati memiliki dadah jenis ganja.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima maklumat sebuah lori terbabas dan melanggar pagar perpustakaan Keningau, pada 7.30 malam semalam.

Katanya, pemandu berusia 24 tahun itu kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai.

“Hasil pemeriksaan, pemandu terbabit disyaki memandu dibawah pengaruh dadah. Pemeriksaan lanjut menemui satu plastik lutsinar dibahagian poket hadapan sebelah kiri seluar yang dipakainya.

“Plastik itu berisi tujuh batang rokok yang mengandungi tumbuhan kering disyaki jenis ganja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pagar dan rantai kunci yang terputus akibat dirempuh lori dipandu suspek. – Foto/PDRM

Susulan itu, Yampil berkata suspek ditahan dan barang kes dirampas sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Keningau untuk tindakan lanjut.

“Tujuh rokok yang mengandungi tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja seberat 6.26 gram.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan. – Info X