SANDAKAN: Mangsa yang parah dalam insiden kebocoran gas amonia di sebuah kilang ais di Batu 3, di sini, pagi tadi meninggal dunia.
Mangsa lelaki tempatan berusia 40 tahun disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Duchess of Kent (HDOK).
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, hasil siasatan awal polis mendapati pada masa kejadjan, seorang mekanik dibantu oleh tujuh pekerja lain sedang membuat penyelanggaran mesin pemotong ais.
Katanya, ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaran sebatang paip sistem penyejukan telah bocor dan menyebabkan gas amonia dalam keseluruhan tiub sistem penyejukan menyembur keluar.
“Seorang pekerja lelaki yang berhampiran paip bocor telah terkena gas amonia dan tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudiannya dibawa oleh pihak ambulan ke HDOK dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, seramai 18 pekerja berusia 21 hingga 55 tahun sedang bekerja di kilang berkenaan ketika kejadian itu berlaku.
“Daripada jumlah itu, 17 pekerja kini sedang menerima rawatan di HDOK. Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Siasatan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.
Terdahulu, kejadian kira-kira jam 10 pagi tadi itu, mangsa yang terperangkap di dalam bangunan berkenaan berjaya dikeluarkan pasukan bomba selepas berlaku kebocoran gas amonia.
Mangsa yang cedera termasuk parah kemudian dikejarkan ke HDOK untuk rawatan lanjut. – Info X