BEAUFORT: Penahanan dua beradik membongkar kegiatan jenayah mereka dalam kes pecah rumah di daerah ini membabitkan kerugian RM78,000.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Polis, Ismail Abdullah berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 20 tahun ditahan di Kota Kinabalu pada 7 November lalu.
Katanya, suspek terbabit ditahan kerana disyaki terbabit dengan beberapa kes pecah rumah dan ceroboh di daerah ini dan Kota Kinabalu.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek disyaki turut terbabit dengan pecah rumah di Beaufort pada 5 November lalu yang mengakibatkan kerugian wang tunai sebanyak RM78,000.
“Pendedahan awal mendapati suspek telah memasukkan wang hasil pecah rumah itu ke dalam beberapa nombor akaun milik ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ismail berkata, pada Rabu lalu, pasukan polis dari cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dengan dibantu oleh pasukan serbuan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort membuat tangkapan ke atas kakak suspek berusia lingkungan 30 tahun disyaki sebagai pemilik akaun penerima wang daripada suspek.
Katanya, rampasan wang tunai berjumlah RM30,320 berjaya dibuat sepanjang tempoh siasatan kes ini dijalankan.
“Suspek wanita terbabit kini direman di IPD Beaufort selama tujuh hari bermula 9 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Manakala tangkapan lelaki pula masih ditahan di IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut kes-kes pecah rumah di Kota Kinabalu,” katanya. – Info X