LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 2,040 kilogram (kg) minyak masak paket yang disyaki cuba diseleweng dalam kejadian di ladang kelapa sawit Takun, Tungku di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, sepasukan PPM Lahad Datu yang melalui kawasan ladang kelapa melihat sekumpulan lelaki bersama sejumlah kotak dalam keadaan mencurigakan.
Sebaik dihampiri untuk pemeriksaan, kumpulan itu melarikan diri dan meninggalkan kotak-kotak berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak yang ditinggalkan menemui sejumlah 2,040 kg minyak masak paket.

“Semua minyak masak paket itu dipercaya cuba diseleweng oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM5,100,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Barang kawalan 1961,” katanya. – Info X