Search

Lelaki warga asing pecah rumah ditahan

November 11, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki terbabit kes pecah rumah dalam satu serbuan di kawasan perumahan di Jalan Kuhara, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, sepasukan polis dari Balai Polis Tawau bertindak menjalankan serbuan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan suspek.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes pecah rumah yang disyaki dilakukan oleh suspek.

Katanya, sepasukan polis yang diketuai Asisten Superintendan Jafri Abd Hamid terus menjalankan serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Kuhara.

“Sebaik tiba, rumah berkenaan tidak berkunci dan pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang lelaki berada di bahagian ruang tamu.

“Ketika pasukan serbuan memperkenalkan diri, suspek terbabit bertindak agresif dan berlaku pergelutan, namun berjaya ditangkap,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah berkenaan, menemukan pelbagai barang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini di sekitar bandar Tawau.

Lelaki warga asing ditahan terbabit dengan kegiatan pecah rumah di Tawau. – Foto/PDRM

“Antara barang yang ditemukan beberapa telefon bimbit, kad pengenalan (MyKad), pasport, lesen memandu, kad perbankan, dompet dan seluar jeans.

“Hasil siasatan, suspek terbabit berusia 39 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya

Jasmin berkata, suspek terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya. – Info X