Search

Juragan ditahan, cuba seludup keluar pelbagai barang kawalan

November 12, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Cubaan juragan menyeludup keluar pelbagai barang kawalan gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Pulau Berhala, di sini, awal pagi tadi.

Barang kawalan yang dirampas PPM menerusi Op Taring Gelora Khas Kontraban/Op Cegah PATI di kawasan laut Pulau Berhala, Sandakan. – Foto/PPM

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, auspek berusia 41 tahun ditahan PPM Sandakan bersama bot kargo dengan muatan beras, tong gas, tepung gandum, gula, minyak masak paket dan diesel.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika menjalankan Op Taring Gelora Khas Kontraban/Op Cegah PATI di kawasan laut Pulau Berhala, bot marin mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan bergerak menuju keluar dari kawasan pelabuhan.

Katanya, pasukan PPM Sandakan kemudian mengekori dan meminta juragan bot berhenti untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai barang kawalan yang disembunyikan di ruang dalam bot kargo dipercayai cubaan untuk diseleweng ke negara jiran.

“Juragan bersama bot kargo dibawa ke Jeti Marin PPM Sandakan untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Juragan dan pelbagai barang kawalan yang ditahan PPM di kawasan laut Pulau Berhala, Sandakan. – Foto/PPM

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas juragan mendapati suspek tidak mempunyai keterangan diri yang sama.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot kargo dianggarkan bernilai hampir RM200,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1961 (Akta 522),” katanya. – Info X