KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menempelak kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mengaitkan seperti membuka pekung di dada terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Suhaimi itu pada hakikatnya bagaikan menepuk air dalam dulang terpercik di muka sendiri kerana pemimpin Umno itu dengan sendirinya mendedahkan pengkhianatan mereka kepada mandat dan aspirasi rakyat.
“Sokongan besar daripada rakyat cukup penting agar titik hitam politik Sabah menerusi tindakan cuba merampas kuasa daripada rakan-rakan parti awal tahun ini yang menyebabkan kerajaan hampir-hampir kehilangan kelayakan tidak akan berulang.
“Gerakan “Kudeta” yang gagal itu memberi pengajaran erti sebenar mana kawan dan mana pengkhianat.
“Kerajaan juga menghargai kematangan wakil rakyat PH (Pakatan Harapan) yang mengutamakan aspirasi dan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) dengan menyokong mengekalkan kerajaan pimpinan Hajiji bagi membolehkan kerajaan meneruskan pembelaan kepada rakyat melalui halatuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan balas terhadap Suhaimi yang berkata Hajiji seolah-olah seperti membuka pekung di dada apabila membangkitkan isu cubaan rampasan kuasa.
Nizam berkata, dakwaan Suhaimi bahawa punca UMNO Sabah marah kerana Hajiji tidak menunaikan janji dan menipu adalah tohmahan yang dibuat-buat untuk menutup kelemahan dan kegagalan ‘kudeta’ yang digerakkan.
Katanya, Hajiji adalah seorang pemimpin dan Ketua Menteri yang terbuka serta mudah dibawa berbincang, dan sepatutnya Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin yang juga berjawatan Timbalan Ketua Menteri ketika itu mempunyai akses yang cukup luas untuk berbincang termasuklah dalam Mesyuarat Kabinet Negeri.
“Suhaimi seharusnya sedar bahawa Hajiji selaku Ketua Menteri membuat keputusan dengan mengambilkira semua pandangan rakan parti dalam komponen Kerajaan Sabah dan bukan hanya untuk UMNO Sabah sahaja.
“Jika benarlah Hajiji seperti yang ditohmah oleh Suhaimi, tidak mungkin ramai pemimpin berdiri di belakang beliau, memberi sokongan moral seperti mana kehadiran pelbagai pemimpin termasuklah mantan pemimpin Sabah yang banyak berjasa kepada rakyat dan negeri turut hadir pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat baru-baru ini.
“Sedarkah Suhaimi selaku ADUN dilantik oleh Ketua Menteri, jika Hajiji selaku Ketua Menteri tidak setiakawan mengapa lima ADUN UMNO Sabah kekal menyokong Ketua Menteri dan tidak bersetuju dengan tindakan kudeta langkah Kinabalu yang gagal itu,” katanya.
Terdahulu dalam ucapan dasar Presiden pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat, Hajiji berkata kepemimpinan parti itu tidak boleh lalai, selain perlu mengelak sebarang perselisihan dalam perjuangan untuk rakyat dan negeri.
Katanya, parti itu perlu mengambil iktibar daripada peristiwa hitam yang berlaku pada awal tahun ini di mana kerajaan yang dibentuk secara sah atas kuasa dan keputusan rakyat diganggu gugat, bahkan hendak diruntuhkan dengan cara yang amat tidak bjaksana.
Beliau merujuk cubaan menjatuhkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilakukan UMNO Sabah dan Parti Warisan (Warisan) melalui gerakan yang dinamakan Langkah Kinabalu atas alsan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Hajiji pada Januari lalu. – Info X