KOTA KINABALU: Empat individu termasuk seorang wanita masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM11,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Tertuduh Tan Kui Siong, 35; Kenneth Teo Yen Phong, 39; Avie Chew Yan Ping, 31 dan Yap Chee Chung, 36 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh dihukum penjara selama dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan selain lesen memandu turut digantung selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan.
Selain itu, seorang lagi individu didenda RM1400 selepas didapati bersalah semasa sekatan terhadap pertandingan dan ujian kelajuan.
Tertuduh, Azizan Roslie, 24 yang didakwa mengikut Seksyen 81(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 turut menerima arahan Timbalan Pendakwa Raya agar tertuduh didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu di jalan awam dengan cara gopoh sehingga mungkin menyebabkan bencana kepada orang lain.
Mahkamah juga memerintahkan agar tertuduh dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Seorang lagi tertuduh, Na’im Puasa, 21 turut didenda RM600 selepas mempamerkan nombor pendaftaran palsu selepas didakwa mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Na’im juga menerima arahan Timbalan Pendakwa Raya agar dituduh bersama Seksyen 14(4) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak memperagakan nombor pendaftaran kenderaan mengikut cara yang ditetapkan.
Tertuduh diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Kesemua tertuduh membayar denda yang ditetapkan dengan jumlah bayaran keseluruhan sebanyak RM46,000. – info X