SEMPORNA: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Datuk Christina Liew berkata, kemudahan Lapangan Terbang Tawau (LTT) perlu sentiasa ditahap yang terbaik bagi menjaga imej Sabah sebagai destinasi tumpuan pelancong.
Beliau berkata, pihaknya banyak menerima rungutan pelbagai pihak khususnya pelabur dan pelancong berkaitan kemudahan di lapangan terbang berkenaan.
Katanya, kebersihan tandas dan ketiadaan air adalah isu yang paling kerap dilaporkan oleh pelancong yang menggunakan perkhidmatan di lapangan terbang berkenaan.
“Saya sudah lama membangkitkan isu ini kerana ia sangat menjejaskan imej Sabah di mata pelancong dan pelabur yang datang ke sini.
“Justeru Malaysia Airport Berhad (MAB) perlu mengambil berat isu ini untuk menyediakan kemudahan yang terbaik untuk pelancong,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Pecah Tanah Projek Borneo Semporna Resort, di sini semalam.
Menurutnya, bermula Januari atau Febuari tahun depan, LTT akan menerima penerbangan terus dari China ke Tawau sebanyak dua kali seminggu.
“Kita akan menerima lebihan kira-kira 300 orang pelancong menerusi penerbangan terus ini dan perlunya semua pihak khususnya LTT bersedia dengan kehadiran mereka.
“Saya mengharapkan semua pihak seperti penyedia produk pelancongan dan warga Tawau supaya bekerjasama untuk memastikan kebersihan persekitaran kita ditahap yang memuaskan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, KePKAS dalam rangka menarik lebih ramai pelancong dari negara Barat untuk menikmati pelancongan di Sabah.
Christina berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pemain-pemain industri khususnya di Tawau bagi merancakkan kehadiran pelancong dari negara Barat.
“Pada Januari atau Febuari tahun depan juga, kita akan mengadakan ‘International Rainforest Climb’ di Taman Bukit Tawau sebagai usaha menarik pelancong datang ke sini.
“Kita juga akan menganjurkan Pertandingan Memancing Antarabangsa yang disertai oleh peserta dari negara-negara luar,” katanya.
Christina berkata, dalam usaha menarik pelancong luar khususnya dari Barat, perlunya diadakan program-program mega sekurang-kurangnya lima atau enam kali setahun.
“Saya berharap lebih ramai lagi pelabur luar datang ke daerah-daerah pantai timur Sabah seperti Semporna, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan untuk melabur dalam produk pelancongan tahun hadapan.
“Kita juga mahu menggalakkan lebih ramai penduduk di daerah ini terlibat dengan industri pelancongan seperti inap desa, produk makanan dan sebagainya,” katanya. – Info X