Search

Jangan bawa unsur ekstremisme, Nizam ingatkan penganjur Solidariti Palestin

November 19, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan mengingatkan penganjur Solidariti Palestin supaya tidak membawa unsur ekstremisme dan vandelisme sehingga merosakkan kemudahan awam di daerah ini. 

Katanya, Solidariti Palestin perlu dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, penganjuran Solidariti Palestin sangat digalakkan oleh kerajaan, namun harus dilaksanakan dengan cara yang betul dan aman.

“Ia bertujuan mendidik rakyat di negeri ini dengan nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.

“Justeru, perkara paling penting adalah kesatuan dan keprihatinan kita terhadap rakyat Palestin yang telah ditindas oleh Zionis Israel,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Program Solidariti Palestin anjuran Ketua Cawangan Enam Serangkai DUN Apas, di sini, hari ini.

Nizam berkata, penganjuran ini diharap dapat membuka mata masyarakat di seluruh dunia bahawa bumi Tawau khususnya di kawasan Apas juga mengecam tindakan kekejaman Zionis Israel terhadap Palestin.

“Perbuatan Zionis Israel sudah keterlaluan kerana melanggar nilai kemanusiaan dengan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa terutamanya wanita dan kanak-kanak.

“Saya berharap dengan kesatuan dan doa kita yang hadir hari ini dapat menghentikan tindakan puak Zionis Israel serta membantu Palestin mencapai kemerdekaan,” katanya. – Info X