KOTA KINABALU: Seorang lagi suspek yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ ditahan hari ini, kerana disyaki bersekongkol dengan penguat kuasa dalam pengeluaran lesen terbang dengan nilai wang rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 tanpa perlu mengambil ujian memandu.
Suspek lelaki warga asing yang berusia dalam lingkungan 40 tahun dipercayai ditahan kira-kira jam 4 petang tadi ketika diminta hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Lahad Datu.
Sumber berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada sekitar tahun 2021 dan 2022 serta disyaki memberikan wang rasuah kepada penguat kuasa sebagai balasan untuk mengeluarkan lesen memandu kepada calon tanpa perlu mengikuti ujian memandu.
“Modus operandi yang dilakukan oleh ‘orang tengah’ ini adalah dengan meminta wang rasuah daripada setiap calon antara RM400 hingga RM1,200.
“Suspek kemudian memberikan kepada penguat kuasa bagi mendapatkan lesen memandu pelbagai kelas tanpa menjalani ujian memandu,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Lahad Datu, Sabah jam 9 pagi esok.
Semalam, empat anggota penguat kuasa ditahan SPRM kerana disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM300,000 dari ejen dan calon yang mengambil lesen memandu.
Semua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 30 tahun dipercayai ditahan jam 4 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah. – Info X