Search

Op Tapis: Polis gempur 6 lokasi, tahan 14 penagih dadah

November 23, 2023

Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Polis Penampang menahan 14 lelaki disyaki penagih dadah menerusi Op Tapis Khas di enam lokasi di daerah ini dan Putatan selama dua hari yang berakhir, semalam.

Menerusi operasi itu juga, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang merampas dadah jenis syabu seberat 5.94 gram bernilai RM1,188.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dalam operasi itu, BSJN membuat pemeriksaan terhadap 20 individu.

Individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas di Penampang dan Putatan. – Foto/PDRM

“Pemeriksaan lanjut menahan 14 lelaki berusia 19 hingga 45 tahun di atas tiga kesalahan iaitu Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(3) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Selain itu juga, pasukan serbuan turut merampas dadah jenis syabu seberat 5.94 gram dianggarkan bernilai RM1,188,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Penampang untuk tindakan selanjutnya.

Dadah syabu yang dirampas dalam Op Tapis di Penampang dan Putatan. – Foto/PDRM

Sementara itu, katanya polis menyarankan kepada masyarakat terutama ibu bapa untuk sentiasa mengawasi pergaulan dan gerak geri anak-anak supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Orang ramai juga diminta untuk menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras gejala najis dadah,” katanya. – Info X