TAWAU: Seorang pemandu terselamat walaupun sebatang pokok tumbang menghempap keretanya dalam kejadkan di Batu 5 Jalan Apas, di sini, petang tadi.
Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan apabila pokok berkenaan yang tumbang akibat angin kencang dan hujan lebat berlaku, jam 1.30 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.33 petang.
Katanya, seramai enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah kereta parkir di bahu jalan rosok di bahagian bumbung dan depan akibat dihempap pokok.
“Pasukan bomba bertindak memotong dan membersihkan pokok tumbang dengan menggunakan gergaji berantai, sebelum mengalihkan ditempat selamat,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat.
“Operasi ditamatkan pada jam 2 petang,” katanya. – Info X