KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) menjadikan kejohanan Piala SAFA 2024 yang diadakan pada Januari depan sebagai gelanggang untuk memilih pemain pelapis bola sepak negeri.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ruddy Awah, berkata Sabah memerlukan ramai pemain bola sepak bagi meneruskan legasi pasukan negeri selain memantapkan lagi kekuatan Sabah dalam arena bola sepak negara.
Katanya, Sabah memiliki ramai bakat sukan yang boleh diserlahkan melalui kejohanan tempatan seperti Piala SAFA yang mungkin berpotensi untuk diserapkan dalam pasukan negeri sebagai pemain profesional.
“Penganjuran kejohanan bola sepak tempatan ini bukan hanya untuk melengkapkan jadual tahunan program pembangunan bola sepak SAFA, tapi lebih penting lagi bagi melahirkan pelapis muda.
“Bakat yang dicungkil melalui kejohanan Piala SAFA itu nanti boleh diketengahkan ke peringkat negeri bagi memastikan sukan bola sepak Sabah terus berkembang maju,” katanya ditemui pemberita selepas majlis penyerahan jersi kejohanan Piala SAFA 2024 kepada wakil SAFA daerah, di sini, hari ini.
Penyampaian jersi berkenaan disempurnakan Timbalan Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang selepas mesyuarat Kejohanan Piala SAFA 2024 yang dihadiri 21 wakil SAFA daerah dari seluruh negeri.
Sementara itu, Ruddy selaku Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, berkata Piala SAFA 2024 dijadual bermula pada 12 hingga 14 Januari bagi perlawanan peringkat zon, manakala 25 hingga 27 Januari bagi perlawanan peringkat negeri.
Katanya, perlawanan peringkat zon diadakan secara liga satu pusingan serentak di enam zon bagi mencari 12 pasukan yang menduduki tempat pertama dan naib johan untuk ke kejohanan peringkat negeri.
“Setelah selesai peringkat zon, 12 pasukan johan dan naib johan itu akan dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menghadapi perlawanan secara liga satu pusingan di peringkat negeri yang akan diadakan di Kota Kinabalu,” katanya.
Kejohanan itu, katanya menawarkan hadiah wang tunai RM15,000 bagi pemenang pertama, diikuti naib johan (RM10,000), tempat ketiga (RM7,500) dan tempat keempat (RM5,000). – Info X