KOTA KINABALU: Tiada masa ambil lesen dan proses remeh. Itu antara alasan diberikan 23,748 pengguna jalan raya yang dikenakan notis selepas dikesan tidak memiliki lesen memandu di seluruh Malaysia.
Jumlah itu diperoleh hasil pemeriksaan terhadap 554,372 kenderaan dalam operasi selama 14 hari yang dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, kesalahan itu adalah yang tertinggi berjaya dikesan sepanjang Op Patuh Bersepadu 2023 yang berakhir 24 November lalu.

Katanya, kebanyakan pesalah berkenaan adalah membabitkan individu berusia lingkungan seawal 15 hingga 35 tahun.
“Sepanjang operasi Op Patuh Bersepadu ini, JPJ turut mengeluarkan notis terhadap 17,447 kenderaan cukai jalan tamat tempoh dan 13,857 kenderaan yang dikesan tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Manakala notis lain yang dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan teknikal (12,191 notis) tiada lesen vokasional (4,902 notis) dan lebih muatan (2,329 notis),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi berkenaan yang diadakan di Taman Awam Teluk Likas, Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Lokman berkata sepanjang operasi berkenaan, pihaknya turut mengesan tujuh tujuh kesalahan utama iaitu memotong barisan, melanggar lampu isyarat merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak memakai tali pinggang keledar.
Selain itu katanya, JPJ turut mengambil tindakan tegas terhadap 4,797 pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan.
“JPJ tidak akan berkompromi dan akan terus mengambil tindakan tegas kepada pemilik atau pemandu yang masih tegar melanggar peraturan yang ditetapkan.
“JPJ juga memfokuskan kepada penguatkuasaan pematuhan piawaian teknikal dan keselamatan pemanduan kenderaan.
“Ia termasuk kesalahan pengubahsuaian pelbagai aspek spesifikasi keselamatan teknikal motosikal yang tidak dibenarkan,” katanya.
Sementara itu, Lokman berkata operasi berkenaan adalah salah satu strategi melandaikan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Untuk rekod, operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). – Info X