Search

Ibu melecur, anak sesak nafas rumah terbakar

November 27, 2023

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang wanita melecur manakala anaknya sesak nafas selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Pangkalan Abai, di sini, pagi tadi.

Mangsa berusia 29 tahun melecur di badan dan anak lelakinya berusia tiga tahun separa sedar akibat terhidu asap di kini menerima rawatan di Hospital Kota Belud.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.58 pagi.

Katanya, seramai 12 anggota serta pegawai dari BBP Kota Belud bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik sampai, didapati sebuah rumah jenis kekal terbakar 30 peratus di bahagian bilik.

“Kebakaran dipadam oleh orang awam sebelum jentera tiba. Pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada keberbahayaan lain dan mengambil maklumat di lokasi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, terdapat dua mangsa cedera melecur dan sesak nafas akibat terhidu asap dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan awal.

“Operasi terkawal pada jam 11.37 dan operasi ditamatkan 13 minit kemudian.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X