KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick (PH – UPKO) berkata, Kerajaan Sabah perlu menyediakan formula pemberian khas kerajaan persekutuan jika tidak bersetuju terhadap cadangan formula yang dikemukakan Kementerian Kewangan dalam rundingan berhubung perkara itu.
Katanya, langkah itu penting bagi memuktamadkan formula kekal pemberian khas dalam tempoh setahun selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Julai lalu.
Beliau berkata, bagi maksud itu, kerajaan negeri perlu memperkasakan jawatankuasa perunding yang ditubuhkan sebelum ini untuk mendapatkan cadangan formula pemberian khas yang boleh diterima.
Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu disertai pasukan pakar yang terdiri daripada profesional dalam pelbagai bidang termasuk guaman, percukaian, perakaunan, audit, kewangan, bekas hakim dan timbang tara.
“Ini bagi membantu Kerajaan Sabah mengemukakan cadangan formula yang kekal berdasarkan kepada interpretasi perlembagaan dan analisa cukai serta hasil persekutuan di Sabah,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau menyentuh mengenai punca hasil yang berkaitan dengan terimaan bukan hasil iaitu pemberian daripada kerajaan persekutuan serta komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan tuntutan pemberian khas yang dinyatakan dalam Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, DUN Sabah harus merekodkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan peningkatan kadar pemberian khas interim kepada Sabah daripada RM125.6 juta kepada RM300 juta serta perakuan bahawa keputusan itu hanyalah bersifat interim seperti dinyatakan pada Belanjawan MADANI 2024.
Sementara itu, Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), turut mencadangkan agar pemberian semula 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip secara langsung dan tidak langsung di Sabah dibincang secara berasingan.
Katanya, kutipan hasil secara langsung merangkumi cukai pendapatan dan kutipan kastam, manakala kutipan secara tidak langsung seperti cukai syarikat multinasional yang beroperasi di Sabah tetapi didaftarkan di luar Sabah menyebabkan mereka membayar cukai tanpa melalui pejabat hasil di negeri ini.
“Cadangan ini bagi membolehkan Sabah menikmati tambahan hasil kepada Belanjawan Negeri yang lebih segera sementara meneruskan rundingan mengenai kutipan hasil persekutuan tidak langsung,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi turut mengulangi cadangannya sebelum ini mengenai usaha mewujudkan enakmen berkaitan pemberian khas persekutuan bagi melengkapkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Bagi menambahkan lagi hasil kerajaan Sabah, saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan mensyaratkan pemilikan ekuiti negeri dalam setiap pelaburan terus syarikat multinasional negara atau luar negara yang dilaksanakan di Sabah.
“Ini termasuklah syarikat multinasional yang berhasrat mendapatkan lanjutan pajakan sedia ada bagi yang terlibat dalam sektor perladangan,” katanya. – Info X