Search

10 Projek janakuasa baharu bekal hingga 1,000 MW tenaga – Abidin

November 28, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 10 projek janakuasa baharu dengan keupayaan menjana sehingga 1,000 megawatt (MW) tenaga dirancang bagi mengatasi kekurangan bekalan tenaga di Sabah antara tahun depan hingga 2029.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata ia termasuk pelaksanaan projek tenaga boleh baharu sama ada solar atau hidroelektrik.

Katanya, pada tahun depan satu projek solar berskala besar berkapasiti 62 MW dijangka siap, manakala dua projek lagi iaitu masing-masing berkapasiti 100 MW dijadual siap sepenuhnya pada 2025 dan 2026.

“Turut dilaksanakan ialah Program Tarif Galakan (Feed in Tariff) dari sumber mini hidro dan biogas dengan jumlah kapasiti 37 MW pada tahun depan dan Loji hidroelektrik kecil berkapasiti 45 MW di Sungai Padas dan Pegalan dijangka siap pada 2026,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah,  di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Ghani  Mohd Yassin (Gagasan Rakyat – Nabawan) mengenai strategi jangka masa pendek atau pelan tindakan yang berkesan untuk menangani masalah bekalan air bersih, elektrik dan jalan raya di Sabah.

Abidin berkata, sebuah Stesen Janakuasa Bebas (IPP) yang dinamakan Ranhill Sabah Energy (RSE) 3 di Kimanis berkapasiti 100 MW juga akan dibina dan dijangka mula beroperasi pada Mac 2026.

Turut dilaksanakan, katanya ialah dua lagi projek loji janakuasa di Kimanis yang berasaskan gas asli, masing-masing berkapasiti 100 MW dan dijadual beroperasi pada 2025 dan 2027.

“Loji hidroelektrik (run of river) berkapasiti 170 MW juga akan dilaksanakan di Sungai Padas dan Maligan, Sipitang yang dijangka siap pada 2028.

“Turut dibina ialah loji hidroelektrik empangan berkapasiti 180 MW di Ulu Padas yang dijangka siap pada 2029,” katanya.

Katanya, semua projek itu bertujuan menambah kapasiti penjanaan tenaga bagi menangani isu kekurangan bekalan elektrik dalam Grid Sabah.

Selain projek janakuasa, katanya kerajaan negeri turut melaksanakan Pembangunan Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dilancarkan pada 19 September lalu.

Fokus utama pelan itu, katanya adalah bagi memastikan bekalan tenaga yang berdaya harap, liputan yang menyeluruh pada harga mampu milik dan pertimbangan kepada kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, mengenai infrastruktur jalan raya, khususnya projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Abidin berkata kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan proses tender 19 lagi pakej kerja untuk projek Fasa 1B membabitkan jajaran 366 kilometer dengan kos RM15.7 bilion dalam tahun ini.

“Setakat ini Surat Setuju Terima (SST) bagi empat daripada baki 19 pakej kerja itu, iaitu WP12, WP13, WP14 dan WP16, akan dikeluarkan sebelum penghujung 2023.

“Baki 15 pakej kerja lagi, SST disasar dikeluarkan selewat-lewatnya menjelang Mac 2024,” katanya. – Info X