Search

Kes rasuah JANS pengajaran jadi pengajaran – Hajiji

November 28, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Isu rasuah yang berlaku di Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebelum ini menjadi pengajaran kepada semua penjawat awan dan kepemimpinan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Atas sebab itu, katanya, kerajaan negeri berpendirian tegas untuk memerangi rasuah yang disifatkan sebagai punca pelbagai kelemahan dan masalah di jabatan dan agensinya.

Beliau berkata, usaha memerangi rasuah dilakukan secara menyeluruh tanpa sebarang kompromi terhadap sesiapa atau mana-mana pihak yang dikesan melakukan jenayah berkenaan.

“Kita tidak berkompromi sama sekali mengenai rasuah (di JANS), ia sudah berlaku dan sekarang dalam pertimbangan mahkamah. Ini menjadi satu pengajaran bukan sahaja kepada Jabatan Air, tapi semua penjawat awam termasuk kepemimpinan kita di Sabah.

“Rasuah adalah satu penyakit besar yang kalau tidak ditangani memang menjadi satu masalah dan halangan untuk kita menyelesaikan masalah seperti bekalan air,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) mengenai usaha kerajaan menangani rasuah di jabatan yang menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

Hajiji berkata kerajaan negeri turut mengambil serius dakwaan terbaru mengenai unsur rasuah yang membabitkan masalah air di negeri ini dan sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.

JANS terpalit dengan isu rasuah membabitkan bekas pengarahnya sendiri berikutan penemuan jutaan ringgit wang dan barang kemas hasil siasatan serta serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Hajiji berkata kerajaan negeri sudah memberi pandangan kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) berhubung pembinaan janakuasa baharu milik penyedia tenaga bebas (IPP) dalam usaha meningkatkan janaan tenaga di negeri ini.

Bagaimanapun, katanya ST tetap dengan keputusan untuk melaksanakan projek janakuasa baharu itu melalui IPP dan bukan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sendiri kerana kuasa masih di tangan suruhanjaya terbabit untuk membuat keputusan.

Katanya, hanya mulai tahun depan kerajaan negeri mempunyai kuasa kawal selia bekalan elektrik melalui penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah yang dijadual bermula 1 Januari depan.

“Saya pastikan pada tahun depan ST akan diserah kepada kerajaan negeri dan kita akan buat keputusan terbaik kita boleh lakukan yang tidak membebankan,” katanya.

Dalam soalan tambahannya, Mohd Shafie mempersoalkan mengapa kerajaan negeri tidak menggunakan kuasanya untuk membolehkan projek janakuasa dilaksanakan sendiri oleh SESB berbanding oleh IPP bagi mengatasi beban dihadapi syarikat utiliti itu. – Info X