Search

Visa percuma pengunjung China, India petanda baik sektor pelancongan – KM

November 27, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan persekutuan memberikan visa percuma 30 hari untuk kemasukan ke negara ini dari China dan India bermula 1 Disember depan satu petanda baik kepada sektor pelancongan khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, berkata langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertepatan dengan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai 2.2 juta ketibaan pelancong pada tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini, 85.6 peratus daripada sasaran itu sudah dicapai, hanya tinggal kurang 15 peratus saja lagi untuk mencapai sasaran 2.2 juta pelancong menjelang akhir bulan depan.

“Industri pelancongan sudah kembali kepada keadaan normal dan kerajaan negeri turut melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah.

“Setakat ini, Sabah dihubungkan dengan lapan bandar raya besar di China iaitu Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou, Wuhan, Macau dan Hong Kong dengan 63 penerbangan mingguan dan 11,360 kapasiti tempat duduk,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, berdasarkan rekod antara Januari hingga September lalu, Sabah mencatat ketibaan seramai 45,801 pengunjung dari China, berbanding hanya 4,162 ketibaan dalam tempoh sama pada tahun lalu.

Bagi kemasukan warga India ke Sabah, katanya seramai 4,176 ketibaan direkodkan setakat September tahun ini berbanding 2,734 dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Dengan pengenalan polisi 30 hari visa percuma dari dua negara paling ramai penduduk di dunia ini, ia dapat membantu mempercepatkan lagi proses pemulihan sektor pelancongan.

“Kita juga berharap lebih banyak kesalinghubungan udara bagi meningkatkan ketibaan pengunjung ke Sabah,” katanya.

Sementara itu, difahamkan China turut memutuskan untuk menawarkan kemasukan visa percuma kepada pengembara yang memegang pasport biasa dari Malaysia, Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.

Menerusi tawaran itu, pemegang pasport Malaysia dan negara Eropah yang lain boleh memasuki China tanpa visa tidak lebih 15 hari untuk tujuan perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga dan transit. – Info X