KOTA KINABALU: “Ketika itu saya hendak makan ubat dan terasa bahang panas sebelum menyedari dinding rumah terbakar.
“Saya hanya sempat membawa beg berisi dokumen penting dan baju yang saya pakai,” kata Melen Basir, 57, yang terselamat dalam kebakaran membabitkan kebakaran enam buah rumah di hujung Kampung Tanjung Aru Lama, di sini, tengah hari tadi.
Melen yang mengalami mini strok, turut luka di pergelangan tangan akibat terkena bahang panas dan bernasib baik sempat keluar dari rumah yang musnah terbakar.
“Waktu itu, saya seorang diri rumah dan baru hendak makan ubat tiba-tiba terasa pelik sb panas lalu melihat dinding rumah berasap.
“Saya terus menyedari rumah terbakar dan segera mengambil beg berisi dokumen penting. Ketika hendak keluar saya terjatuh kerana lantai licin namun mengkuatkan kudrat untuk keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, tiada harta benda yang dapat diselamatkan kerana keadaannya yang agak sukar untuk mengangkat beban berat.
“Suami ketika kejadian sedang bekerja manakala anak buah sekolah.
“Semuanya musnah dan buat masa ini saya diberitahu akan ditempatkan di Balai Raya Tanjung Aru,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.23 tengah hari.

Katanya, bertindak dengan panggilan itu, seramai 40 anggota keseluruhan daripada beberapa buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) termasuk Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Tuaran digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Pada masa sama, seramai 25 anggota Pasukan Khas Bomba Komuniti (PBK) Tanjung Aru turut menjalankan tindakan awal dengan melaksanakan operasi mengawal kebakaran di lokasi.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air terbuka dan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.18 tengah hari
“Tindakan pantas PBK Tanjung Aru yang baharu ditubuhkan membuahkan hasil apabila mereka berjaya mengawal dan menghentikan api daripada merebak lebih besar ke kawasan perumahan lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, enam rumah termasuk empat musnah sepenuhnya manakala dua terbakar 50 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X