TAWAU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki warga asing selepas dia didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Nedzmar Palaudin dijatuhi hukuman itu oleh Hakim, Datuk Dr Lim Hock Leng kerana didapati bersalah mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 128.86 gram di Jalan Dahlia, Bandar Lahad Datu kira-kira jam 7 pagi, pada 16 Disember 2021.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (B)(2) Akta yang sama.
Dr Lim menjatuhkan hukuman itu selepas pihak peguam bela gagal membuktikan keraguan melampaui muhasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh memohon mahkamah menggunakan budi bicara supaya anak guamnya tidak dijatuhkan hukuman gantung sampai mati tetapi sebaliknya pemenjaraan seumur hidup.
Dr Lim dalam penghakiman ringkasnya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta kes dan kepentingan awam.
“Setelah meneliti hujahan Peguam Bela dan Timbalan Pendakwa Raya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap tertuduh.
“Tertuduh akan dirujuk kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setelah selesai menjalani hukuman, memandangkan tertuduh bukan warganegara Malaysia dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain, manakala tertuduh diwakil peguam bela, Abd Ghani Zelika. – Info X