KOTA KINABALU: Tindakan tegas akan diambil oleh Kerajaan Sabah terhadap syarikat yang mempunyai pinjaman dengan Bank Pembangunan Sabah (SDBank) termasuk melantik ‘along’ untuk mengejar hutang terbabit.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata syarikat yang berhutang, khususnya dari Semenanjung tidak akan terlepas daripada tindakan kerajaan negeri sehingga hutang mereka diselesaikan.
Katanya, sehingga kini tiada peminjam yang terdiri daripada syarikat persendirian, khususnya dari Semenanjung yang hutang mereka dihapus kira.
“Saya mahu kongsi bahawa sebenarnya kita telah melantik pegawai baharu yang mempunyai reputasi macam ‘along’ untuk mendapatkan semula hutang yang belum dibayar.
“Kita tidak takut untuk menuntut hutang, kalau (guna) along pun, along lah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Presiden WARISAN itu bertanya mengenai tindakan kerajaan negeri terhadap syarikat yang masih berhutang dan usaha yang diambil untuk menuntut semula wang terbabit.
Masidi berkata, kerajaan negeri sedar ada syarikat dari Semenanjung datang meminjam di negeri ini selepas tidak berjaya mendapatkan pinjaman di negeri lain, namun gagal membayar semula.
“Bagus juga saya nyatakan di sini, ia satu pengajaran bagi kita kerana kadang-kadang syarikat dari Semenanjung yang tidak berjaya mendapat hutang (pinjaman) bank di Semenanjung lari ke Sabah untuk mendapatkan pinjaman, sayapun tidak faham,” katanya.
Terdahulu, menjawab soalan asal Mohd Shafie mengenai hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada SDBank, Masidi berkata sebanyak RM2.2 bilion hutang yang direkodkan setakat suku ketiga tahun ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.2 billion adalah baki hutang Sabah International Petroleum (SIP). Selepas pengambilalihan SIP oleh SMJ Energy Sdn Bhd sebanyak RM700 juta telah diselesaikan dalam fasa pertama,” katanya.
Beliau berkata, hutang GLC yang tidak berbayar merujuk kepada baki pinjaman anak syarikat kerajaan negeri daripada SDBank yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman dan akhirnya tidak mampu beroperasi. – Info X