TAWAU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas dia didapati bersalah menikam isterinya yang dipercayai mempunyai hubungan sulit sehingga mati, enam tahun lalu.
Tertuduh, Jakaria Abu Bakar, 56, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng kerana didapati bersalah atas pertuduhan pilihan, iaitu menyebabkan kematian tanpa niat terhadap Norminah Bollok.
Bagaimanapun, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Febuari 2019.
Dr Lim dalam penghakiman ringkasnya berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira fakta kes dan kepentingan awam.
“Setelah meneliti hujahan Peguam Bela dan Timbalan Pendakwa Raya, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun berkuatkuasa dari tarikh tangkapan.
“Hukuman itu setimpal memandangkan ia adalah kesalahan kali pertama yang dilakukan oleh tertuduh,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah tidak bernombor, di Kampung Pinggir Bakau, Semporna kira-kira jam 4 pagi, pada 22 Januari 2017.
Tertuduh didakwa menikam mangsa sehingga mati selepas berlaku pertengkaran kerana mengesyaki isterinya telah menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan tetapi kemudian dikenakan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama yang memperuntukan hukuman maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain, manakala tertuduh diwakil peguam bela, Andy Tay. – Info X