Search

19 PATI ditahan di Penampang

November 29, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi selama enam jam di dua kawasan perumahan setinggan sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi yang berakhir jam 3 pagi itu, semua individu warga Filipina itu ditahan selepas didapati masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen sah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, operasi bersepadu Op Pati itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, serbuan membabitkan kekuatan 44 pegawai dan anggota polis, 10 penguatkuasan JIM, 10 pegawai MKN dan empat pegawai JPN.

Sammy memeriksa dokumen seorang individu dalam Op PATI di dua kawasan setinggan di Penampang. – Foto/PDRM

“Hasil serbuan berkenaan, seramai 50 individu membabitkan 15 lelaki dan 35 wanita ditahan untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati seramai 19 individu tidak mempunyai dokumen diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Sammy berkata, semua individu terbabit terus ditahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan diserahkan kepada JIM untuk tindakan selanjutnya.

Antara individu yang ditahan dalam Op PATI di Penampang. – Foto/PDR

Sehubungan itu, Sammy berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain untuk mempergiatkan operasi bersepadu seperti ini.

Katanya, ia adalah usaha mengekang kemasukkan dan kebanjiran PATI di dalam daerah Penampang.

“Mana-mana majikan yang didapati melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen boleh didakwa mengikut Seksyen 56(1)(D) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55B akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenalan denda mencecah RM50,000,” katanya. – Info X