Search

APMM tahan 9 individu bawa barang kawalan tanpa permit sah

November 29, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sembilan individu termasuk tekong kerana membawa muatan barang kawalan tanpa permit sah, awal pagi tadi.

Bot pancing yang membawa muatan tong gas dan minyak petrol itu ditahan di kedudukan 0.3 batu nautika selatan Esplanade, di sini, jam 1.55 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak dengan maklumat risikan diterima, pihaknya berjaya mengesan pergerakan bot pancing di sekitar perairan daerah ini.

Katanya, bot ronda Zon Maritim Kudat yang sedang melaksanakan rondaan Op Tiris di sekitar perairan Kudat segera digerakkan ke lokasi dan mengesan bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat sembilan individu berada di dalam bot berkenaan berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun.

“Salah seorang daripadanya adalah warga tempatan yang bertindak sebagai tekong bot manakala lapan individu yang lain adalah warga Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bot pancing bawa muatan barang kawalan ditahan di perairan Kudat. – Foto/APMM

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemukan sejumlah 13 tong gas petroleum cecair seberat 14 kilogram per tong serta 15 tong berisi minyak petrol dianggarkan sebanyak 500 liter.

Katanya, semua barangan di dalam bot terbabit dipercayai dibawa tanpa permit yang sah daripada pihak berkuasa.

“Semua suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM100,000,” katanya.

Tambah beliau lagi, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa permit yang sah, Akta Perikanan 1985 kerana lesen tamat tempoh dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Zon Maritim Kudat menyeru masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat untuk sama-sama membantu Maritim Malaysia dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088- 611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X