PAPAR: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia di hospital selepas bertarung nyawa lima hari apabila motosikal ditungangnya melanggar seekor anjing di Kilometer 10, Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, di sini, 24 November lalu.
Mangsa berusia 25 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) Kota Kinabalu, pada 8.30 pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 4.30 pagi, 24 November lalu.
Katanya, motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggangi mangsa dalam perjalanan dari Kampung Kelatuan, Papar menuju ke Kota Kinabalu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah melanggar seekor anjing yang melintas jalan dari kanan mangsa lalu mangsa bersama motosikal terhempas di atas permukaan jalan raya.
“Mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Papar dengan menaiki ambulans,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Papar, mangsa mendapat rawatan awal sebelum dikejarkan ke QEH Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
“Pada 8.30 pagi tadi, pihak QEH memaklumkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik QEH untuk tujuan bedah siasat.
“Punca kematian mangsa adalah ‘Traumatic Head Injury Due To Road Traffic Accident’,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Kamaruddin berkata orang ramai diminta supaya berhati-hati ketika memandu kenderaan atau menunggang motosikal di jalan raya.
“Terutama di kawasan jalan kampung dan di waktu malam kerana banyak binatang liar melintas secara tiba-tiba.
“Selain itu, pemilik binatang peliharaan yang membenarkan binatang mereka seperti lembu, kambing dan kerbau berjalan di jalan awam untuk mencari makanan sendiri ini masuk ke kandang pada waktu petang dan malam hari bagi mengelak berkeliaran di jalan raya yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan,” katanya. – Info X