Search

Sabah masih runding tuntutan royalti minyak

November 29, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Royalti minyak dan hak Sabah ke atas pelantar benua disenaraikan antara perkara yang masih dirunding dalam tuntutan kerajaan negeri terhadap kerajaan persekutuan mengikut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu dan beberapa lagi perkara penting lain sedang diusahakan menerusi rundingan yang masih dilaksanakan.

Katanya, perkara lain yang turut dirunding ialah kuasa tenaga buruh dan kuasa perundangan alam sekitar, selain penurunan kuasa kepada mahkamah Sabah dan Sarawak, pelantikan pesuruhjaya kehakiman Sabah dan Sarawak serta pentadbiran kehakiman.

“Selain itu, turut masih dalam perundingan ialah pembayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak serta Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua.

“Turut dituntut ialah obligasi kewangan persekutuan di bawah Senarai Bersama, duti setem ke atas instrumen sewa tanah, pertambahan jawatan perkhidmatan awam Sabah di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Borneonisasi perkhidmatan awam Sabah.

“Kita turut menuntut berhubung pembangunan sempadan Malaysia – Indonesia, iaitu di antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Assaffal P Alian (WARISAN – Tungku) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Assaffal bertanya sama ada royalti minyak dan perkara berhubung kait dengan pelantar benua termasuk dalam senarai tuntutan kerajaan negeri dalam rundingan berkaitan MA63 dengan kerajaan persekutuan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat – Sindumin) berhubung perkara yang masih dirunding, Nizam menyenaraikan tujuh perkara sedang dalam peringkat pelaksanaan ketika ini.

Perkara pertama, katanya berkaitan semakan semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan yang dijadual diselesaikan sebelum 18 Julai 2024.

“Kedua ialah tuntutan 40 peratus atau dua perlima hasil bersih dikutip di Sabah mengikut Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan yang mana kerajaan persekutuan perlu membayar setelah kedudukan kewangan kukuh.

“Ketiga berkaitan pelupusan tanah persekutuan yang tidak digunakan yang mana satu mekanisme pengambilan semula tanah itu sedang dibuat, dan kini juga dalam proses untuk mengenal pasti tanah yang boleh dikembalikan,” katanya.

Nizam berkata, perkara keempat pula berkaitan penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang akan diselesaikan pada Januari 2024.

Katanya, perkara kelima dan keenam yang masih dirunding ialah berkaitan tuntutan kuasa autonomi kesihatan dan pendidikan, manakala yang ketujuh ialah tuntutan bagi menambah Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk mencapai 35 peratus daripada keseluruhan kawasan Parlimen yang sudah dicadangkan secara rasmi kepada kerajaan persekutuan pada Ogos lalu.

“Proses perbincangam, rundingan dan pelaksanaannya membabitkan beberapa peringkat, oleh itu semua tuntutan ini memerlukan masa untuk dicapai.

“Namun, dengan hubungan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri, kita percaya perkara ini dapat diselesai dengan baik dan memberi keuntungan serta manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya. – Info X