TAWAU: Enam pekerja tapak pembinaan di Pegagau Agriculture Wakuba, di sini dikejarkan ke hospital akibat kebocoran gas klorin, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, seorang daripada mangsa didapati pengsan dan dimasukkan ke dalam zon merah bahagian kecemasan Hospital Tawau, manakala lima lagi sesak nafas berada di zon kuning.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada Hospital Tawau pada jam 5.37 petang.

Katanya, seramai 12 anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.
“Sebaik tiba, pasukan bomba menerima maklumat mengenai kebocoran gas dipercayai gas klorin ketika kerja-kerja mengorek tanah menggunakan jengkaut dijalankan di tapak pembinaan rumah pekerja.
“Semua mangsa warga asing berusia 19 hingga 35 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan sebelum ketibaan jentera bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba terus membuat kerja-kerja zoning menggunakan penggesan gas untuk mengambil bacaan radiasi bahan.

“Pasukan bomba kemudian menampal kebocoran pada tong yang dikenal pasti jenis klorin menggunakan tanah dan plastik.
“Pasukan bomba turut bertindak memindahkan orang awam yang berada berhampiran kawasan kejadian pada jarak 500 meter hingga 1 kilometer,” katanya.
Jemishin berkata, kerja-kerja dekontaminasi untuk menghilangkan kesan radiasi, sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.36 malam.
“Kami masih menjalankan pemantauan bagi memastikan lokasi kejadian selamat untuk orang awam,” katanya. – Info X