TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis tidak sampai 13 jam selepas disyaki memecah masuk sebuah kedai runcit di Apas Parit, di sini, semalam.
Kejadian itu dilaporkan oleh pemilik kedai pada jam 6 pagi.
Suspek berusia 23 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Sri Indah menjalankan serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Membalua Batu 11, Jalan Apas.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memecah masuk ke dalam sebuah kedai runcit dan mencuri barangan jualan di premis berkenaan.

“Dengan dipandu arah oleh suspek sendiri, pasukan serbuan dari Balai Polis Sri Indah dan dibantu anggota Balai Polis Bombalai memeriksa sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pertama Bombalai.
“Hasil pemeriksaan itu, polis merampas tong gas, beras dan beberapa barangan dapur yang disembunyikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jasmin berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X