Search

Cubaan seludup minyak masak, petrol gagal

December 3, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup keluar minyak masak peket dan petrol di kawasan pesisir pantai Kampung Kuala Bibang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, anggota PPM Semporna yang menjalankan tugas Op Taring Gelora Khas menemui longgokan kotak dan tong di pesisir pantai berkenaan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, ketika membuat pemantauan menemui 120 kotak berisi minyak masak pelbagai jenama dan 10 tong berisi minyak petrol.

“Semua barangan itu ditinggalkan di kawasan pesisir pantai dalam keadaan mencurigakan yang dipercayai cuba diseludup ke Filipina.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi tidak menemui pemilik barangan berkenaan dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kotak berisi minyak masak peket dan tong berisi petrol dirampas PPM selepas disyaki cuba diseludup ke Filipina. – Foto/PPM

Menurutnya, semua barang yang ditemui itu dirampas dan dibawa ke Pangkalan Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM6,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X