RANAU: Lima penghuni hilang tempat tinggal dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Bundu Tuhan, Jalan Tenompok, di sini, hari ini.
Kedua-dua rumah berkenaan terbakar sepenuhnya dan semua penghuni di dua rumah itu berjaya keluar dengan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, sebaik menerima panggilan jam 11.56 pagi, sepasukan bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Setiba di lokasi, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera.
“Dua rumah jenis separuh kekal dan tidak kekal terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata, operasi dilaporkan terkawal pada 1.30 tengah hari dan tiada mangsa terlibat.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada 2.50 petang.
“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X