Search

Toyota Harrier terbakar, pemandu selamat

December 4, 2023

Info X Reporters

BEAUFORT: Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Toyota Harrier musnah terbakar dalam kejadian di kawasan Taman Selagon Bukit, di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.16 malam.

Susulan laporan itu, katanya sepasukan 11 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, sebuah SUV Toyota Harrier didapati sedang terbakar dan operasi memadam kebakaran terus dijalankan.

“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hingga api padam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SUV Toyota Harrier musnah terbakar di Beaufort. – Foto/Bomba

Menurutnya, api berjaya dikawal jam 10.49 malam dan kenderaan berkenaan terbakar sepenuhnya.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi ditamatkan pada 11.10 malam,” katanya. – Info X