Search

Warga asing miliki 2 senapang angin diberkas

December 6, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Tindakan seorang lelaki warga asing memiliki senapang angin disyaki untuk memburu burung dan ayam hutan mengundang padah apabila ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah pekerja syarikat ladang sawit di daerah ini, semalam.

Suspek berusia 38 ditahan bersama dua laras senapang angin dipercayai buatan sendiri oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, kira-kira jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, bertindak atas maklumat awam, pegawai dan anggota polis membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah pekerja di kawasan ladang sawit berkenaan.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas dua laras senapang angin buatan sendiri yang disimpan di dalam rumah suspek.

Senapang angin yang dirampas selepas menahan seorang lelaki warga asing dalam serbuan di sebuah rumah pekerja syarikat ladang sawit di Semporna. – Foto/PDRM

“Turut dirampas adalah sebanyak 66 biji guli dan satu botol spirit untuk kegunaan senjata berkenaan.

“Suspek dan rampasan dibawa ke IPD Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan senjata yang dirampas itu dipercayai digunakan untuk memburu burung atau ayam hutan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sebanyak 66 biji guli turut dirampas dalam serbuan berkenaan. – Foto/PDRM

Sementara itu, Mohd Farhan berkata orang ramai dilarang untuk memiliki, dalam jagaan atau kawalan membawa atau menggunakan apa-apa senjata amunisi tanpa suatu permit yang sah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta untuk menyalurkan kepada IPD Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X