Search

5 cedera kemalangan babit 3 kenderaan di Kota Belud

December 7, 2023

Info X Reporters

KOTA BELUD: Lima lelaki cedera manakala tiga lagi selamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Lebak Moyoh, di sini, tengah hari ini.

Kemalangan membabitkan kenderaan Isuzu D Max, lori muatan 10 tan dan lori penarik kereta.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.22 tengah hari.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Terdapat lapan mangsa, lima mangsa dari kenderaan Isuzu D Max, dua mangsa dari lori penarik kereta dan satu mangsa dari lori 10 tan.

“Lima mangsa lelaki dari Isuzu D Max cedera dan menerima rawatan awal dari pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kemalangan. – Foto/Bomba

Menurutnya, semua mangsa seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Tiga lagi mangsa lelaki dari lori 10 tan dan lori penarik kereta selamat.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.02 petang,” katanya. – Info X