Search

Tiada cubaan culik kanak-kanak di Penampang – Polis

December 8, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Polis mengesahkan tiada cubaan penculikan membabitkan seorang kanak-kanak seperti yang didakwa berlaku di daerah ini oleh seorang wanita menerusi media sosial termasuk di Facebook.

Kenyataan dakwaan cubaan menculik oleh dua individu terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun di sebuah pusat beli belah di sini ditularkan sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima satu laporan pada 7 Disember berkenaan dakwaan seorang kanak-kanak ditarik di bahagian lengan oleh seorang individu yang tidak dikenali.

Katanya, kejadian berlaku apabila pengadu sedang berjalan di sebuah pasaraya di Penampang pada 6 November lalu.

“Hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati, ketika kejadian pengadu berada di sebuah kedai untuk mencari barang perhiasan.

“Salah seorang daripada tiga anaknya yang berada di belakang secara tiba-tiba menjerit dan pengadu mendapati seorang wanita yang tidak dikenali berhampiran anaknya.

“Hasil soal siasat polis terhadap pengadu bagaimanapun mendapati tidak terdapat unsur-unsur jenayah seperti yang didakwa oleh pengguna media sosial terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton.

Menurutnya, tidak terdapat sebarang jenayah cubaan menculik membabitkan seorang kanak-kanak di sebuah pasar raya sebaliknya ia adalah satu fakta yang bercanggah dengan keterangan pengadu.

“Oleh itu, polis meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan isu berkenaan bagi mengelakkan salah faham sehingga menimbulkan kegusaran yang boleh mengancam keselamatan masyarakat.

“Mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sabit kesalahan akan dikenakan hukuman tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Info X