SEMPORNA: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyebarkan sebarang maklumat yang tidak tepat sehingga menyebabkan kegusaran awam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendant Mohd Farhan Lee Abdullah juga menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyiarkan serta menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih.
Katanya, perbuatan ini boleh mengganggu siasatan polis berkenaan kes yang sedang dijalankan.
“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna terkesan dengan penularan gambar suspek serta pesanan suara dalam laman media sosial
bersabit kes bunuh di Semporna.
“Penularan ini membabitkan dua keping gambar suspek yang dikatakan terlibat di dalam kes bunuh di daerah Semporna serta tiga pesanan suara berdurasi 0.07 saat, 0.23 saat dan 0.36 saat di media sosial,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, masyarakat juga diminta untuk merujuk sumber yang sah terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang menyiar atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat yang boleh menimbulkan kegusaran awam mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. – Info X